Refleksi Diri

EKPRESIKU...

Showing posts with label Parenting. Show all posts
Showing posts with label Parenting. Show all posts

Thursday, February 27, 2014

CD SUFI CILIK mendapat tempat dihati ibu dan ayah..ALHAMDULILLAH!

Syukur alhamdulillah, syukur tak terhingga kepada Allah s.w.t kerana Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berkongsi sesuatu yang baik dan cukup terkesan kepada anak-anak di luar sana. Untuk makluman, sambutan dan permintaan CD AMALAN ZIKIR DAN DOA SUFI CILIK adalah diluar jangkaan saya sebenarnya. Pada awalnya, hanya berbekalkan 20 unit untuk saya cuba menjualnya di FB, dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah terjual 150 unit. Besar sungguh nikmat Allah. Betul la bila orang cakap, niat membetulkan cara. Nescaya Allah permudahkan segalanya. Jauh disudut hati, perasaan bimbang dengan "cakap orang" tu masih membelenggu perasaan saya. Tetapi saya percaya Allah menyusun perjalanan ini dengan baik, selagi mana saya tetapkan niat saya untuk membantu anak-anak di luar sana. Saya bukanlah ummi yang sempurna, tetapi saya tidak lari dengan ingin menjadi ummi yang sempurna. Saya melihat perkembangan anak saya dan itulah cermin diri saya sebenarnya. 

Hari ini nak kongsikan beberapa feedback daripada pembeli CD Sufi Cilik ini. Rata-rata pembelinya sudah tentu golongan ibu dan kemudian barulah golongan ayah. Ada juga yang belum mempunyai cahaya mata turut membelinya. Malah ada juga yang belum berkahwin turut berminat nak mendengar zikir yang dialunkan oleh sufi cilik adik Amirul Atiq ini. Jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang membeli CD Sufi Cilik ini dan saya harap rakan-rakan berpuas hati dan dipermudahkan mendidik anak mengenal kalam Allah melalui zikir dan doa yang dimuatkan di dalam CD ini.







Buat masa ini, CD ini telah KEHABISAN STOK. Bagi yang berminat nak membeli, jangan bimbang kerana saya akan restok CD sufi cilik ini tetapi masih tidak boleh janji bila stok baru akan sampai memandangkan penebit CD ini ke tanah suci mekah selama sebulan. Paling awal, mungkin pertengahan Mac stok akan sampai. 

Sesiapa yang berminat boleh booking dahulu, tak perlu deposit ye. Hanya sms/whatsapp nama anda dan kuantiti yang ingin dibeli kepada saya di talian 012-2243815. Insyallah bila stok sampai, saya akan maklumkan cara pembayaran. 

1 unit - RM19.90 (harga pasaran)
Postage - RM6.00

TOTAL AFTER DISKAUN: RM25 INCLUDE POSTAGE
(CD ini dibalut dengan bubble wrap bagi menjaga kualiti)

Nak beli borong pun boleh, saya bagi special price! Minimum borong = 6 units

Kepada sesiapa yang ingin melihat testimoni berbentuk video, boleh search di instagram dengan hashtag:  #suficilik

Friday, January 3, 2014

15 Tips Mendidik Anak

Entri pertama untuk tahun 2014 ini adalah perkongsian mengenai perkembangan Hadif. Dah lama tak bercerita panjang lebar mengenai anakanda sorang ni. Entri ini juga bertujuan untuk berkongsi tips..hurmm layak ke dikatakan sebagai tips kerana saya ni bukan lah penulis atau ilmuwan yang hebat dalam bidang parenting. Perkongsian ini hanyalah untuk rujukan dan panduan bersama yang mana inilah kaedah yang saya amalkan dalam mendidik anak. Semoga ia memberi manfaat kepada semua yang membacanya... 
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kak Lina Rahim di atas perkongsian ilmu Kak Lina mengenai Tips serta Info Mendidik Anak yang dikongsi melalui langganan emel beliau. Sudah lama sebenarnya nak berkongsi bagaimana saya mendidik anak memandangkan ramai rakan-rakan yang bertanya, tetapi saya menunggu masa yang lebih sesuai yakni keadaan dimana saya boleh berkongsi perkembangan mengenai anak saya yang sekarang sudahpun mencecah umur 2 tahun 10 bulan.

1. Menghafal Doa-doa Mudah
Seawal umur 2 tahun, anak saya yang diberi nama Muhammad Hadif Akhtar telah diasuh untuk menghafal doa-doa yang agak mudah dihafal seperti doa makan dan doa tidur. Alhamdulillah, Hadif sudah pun lancar membaca kedua-dua doa tersebut dan kalau doa makan tu, beliaulah yang akan memimpin membacanya ketika kami telah bersedia untuk menjamu selera. Doa tidur pula akan diamalkan sebelum tidur, ada ketikanya saya alpa, Hadif yang akan mengingatkan saya untuk membaca doa tidur ini. Masyallah!

2. Mengalunkan Zikir dan Selawat
Selain itu, saya dan suami mengamalkan memperdengarkan alunan zikir munajat ketika berada di dalam kereta untuk ke sesuatu destinasi. Sejak dalam kandungan saya lagi, saya telah biasakan hadif dengan Alunan Zikir dan al-quran. Bila Hadif genap umur setahun, saya dapati hadif seperti ingin mengikut alunan zikir tersebut tetapi agak perlahan perkembangannya.

3. Alunan Zikir oleh Kanak-kanak
Berikutan itu, hati saya mulai terdetik dan teringat perkongsian daripada Kak Lina yang mana kanak-kanak atau bayi ini akan lebih mudah terangsang jika mendengar suara kanak-kanak lain kan? Tanpa berlengah lagi, saya telah cuba untuk mencari jikalau ada CD-CD zikir yang dialunkan oleh anak-anak kecil diluar sana. Alhamdulillah...Allah permudahkan urusan saya. Sedang saya dan suami serta Hadif berjalan-jalan di pasar tani di Putrajaya ini, kami mendengar alunan zikir daripada anak kecil dan terus ke kedai CD tersebut.

4. Zikir Kegemaran
Masyallah..apa yang Kak Lina kongsikan itu sememangnya benar!! Hanya dalam tempoh seminggu, Hadif dah boleh menghafal hampir ke semua zikir didalam CD itu iaitu jumlahnya sebanyak 12 lagu. Lebih memudahkan hafalan nya itu adalah kerana setiap hari selepas saya ambil beliau daripada taska, Hadif sendiri yang meminta untuk diperdengarkan zikir itu dan antara zikir favourite nya adalah Ya Hayyum, Ya Qayyum. Sambil hangguk kepala dia akan nyanyi zikir ini.hehe..

5. Hikmah di sebalik kesusahan
Tiba-tiba hati saya terdetik, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dahulu ketika baru sahaja pindah ke Sepang, saya akan merungut kerana perjalanan rumah saya untuk pejabat di Putrajaya agak jauh dan perlu melalui kesesakan setiap kali pulang ke rumah. Rupanya, dalam kesusahan yang saya lalui itu, ada hikmah disebaliknya yakni Allah memberi peluang kepada Hadif untuk menghafal zikir dan selawat ke atas Nabi. Besar sungguh rahmat Allah kan?

6. Menghafal surah Al-fatihah
Apabila saya melihat perkembangan positif terhadap anak saya, yang mana kebanyakan amalan adalah melalui tips yang diperolehi melalui emel perkongsian Kak Lina, saya cuba "try and error" untuk mengajar Hadif menghafal surah Al-fatihah. Apa yang saya lakukan adalah membaca bersama-sama dengan beliau sebelum tidur. Bertambah memudahkan apabila di dalam CD zikir tersebut juga dimuatkan dengan surah Al fatihah. Berkat amalan itu setiap hari, alhamdulillah...syukur Hadif berjaya menghafal surah Al-fatihah. tapi mungkin intonasinya tidak lah sesempurna seperti kita.

7. Mendidik anak solat di Masjid
Bagaimana pula untuk saya bantu beliau perbaiki sebutannya? Hal ini pula diambil alih oleh suami saya. Suami saya, telah melatih Hadif untuk solat juga seawal umur 2 tahun dan juga membawa beliau solat di masjid. Ya, mungkin ada yang berpandangan bahawa agak terlalu awal membawa anak se kecil Hadif ke masjid. Apa yang akan bermain di fikiran kita ialah, nature kanak-kanak kan suka bermain. Mungkin masa mereka dimasjid akan dihabiskan untuk bermain bersama kanak-kanak yang lain. Kebiasaannya inilah anggapan para ibu bapa..dan saya juga tidak terkecuali untuk berfikir sebegitu.

8. Positif dengan cabaran membentuk anak
Positif. Ya, benar pada awal permulaan suami membawa Hadif ke masjid agak mencabar dan cukup menguji kesabaran suami. Hadif bermain di saf suami, duduk dihadapan suami dan berlari mengelilingi suami. Suami pula terpaksa solat dibelakang kerana bimbang perbuatan Hadif akan membatalkan saf yang lain. Apa yang suami lakukan? Selesai solat, suami akan menegur Hadif di dalam kereta, dan bila pulang ke rumah suami akan mengadu kepada saya. Hadif ini pula memang ada sifatnya yang tidak boleh diperlekehkan. Dia menangis kerana ditegur oleh saya dan suami dan ada satu ketika itu dia langsung tidak mahu mengikut suami solat di masjid. Bila ditanyakan alasan, dia terus akan menjawab," Hadif taknak ikut daddy ke masjid, nanti hadif naughty..". 



9. Menerapkan amalan bersedekah
Dalam mencari solusi yang bersesuaian dengan umur sikecil ini, alhamdulillah..berkat kesabaran juga Allah permudahkan urusan kami. Ternyata amalan sedekah yang cukup dititikberatkan oleh suami mampu membantu Hadif untuk menanam kembali minatnya untuk solat dimasjid. Setiap kali ke masjid, ke mana-mana masjid atau ke mana-mana kedai/restoran yang menyediakan tabung derma..Hadif lah insan yang paling teruja nak menderma! Dengan cara inilah, suami dapat "tackle" Hadif untuk sama-sama solat ke masjid. Setiap kali ke masjid, Hadif akan diberi tanggungjawab untuk memasukkan derma ke dalam tabung masjid. Ada ketikanya, kelihatan Hadif sangat mengantuk dan kadang-kadang dia berbisik kepada saya untuk tidak mahu mengikut suami ke masjid. Tetapi, pancingan Daddy selalunya berhasil,"Kalau hari ni hadif tak pergi masjid, tak dapatlah Hadif derma, tak dapatlah Hadif pahala...". Begitulah keadaannya ....

10. Positif kan anak
Berbalik kepada cerita hafalan Al fatihah tadi, apa yang ingin saya kaitkan disini ialah dengan kekerapan membawa Hadif ke masjid, ia secara tidak langsung membuatkan Hadif mampu menghafal surah ini dengan cepat. Anak kecil ini sudah boleh berbicara sesuatu yang logik dengan beliau. Saya seorang ummi yang cukup-cukup bersyukur kerana Allah menghadiahkan anakanda yang cukup cepat belajar sesuatu perkara. Hadif pernah mengadu kepada saya,  " Ummi...abang tak pandai sebut 'hamhamdulilah'....". Nadanya cukup kecewa kerana tidak lancar menyebut Alhamdulilahirobbil 'alamin.....dan saya berpesan kepada beliau,"Tak apa abang..lama-lama nanti abang pandai lah sebut tu..abang kena sebut selalu..nanti lama-lama Allah tolong abang sebut betul-betul". Dia mengangguk tanda faham. Ops lupa nak bagitau ..Hadif memang bahasakan diri dia Abang walhal belum pun ada rezeki dan ber"adik". Dia sendiri yang bahasakan diri dia abang kerana dia rasa diri dia dah besar..hehe..

11. Jangan jemu berpesan benda yang sama
Menambah cerita tentang solat, maaf kerana cerita saya ni melompat-lompat pula sebab menulis bila terfikir sesuatu untuk dikongsi. hehe..saya selalu berpesan kepada Hadif bahawa masjid adalah rumah Allah..rumah Allah tempat kita sembahyang..bukan tempat kita ber......??? Hadif pun jawab "bukan tempat bermain, mi...". Setiap kali ke masjid, itulah pesanan saya..tanpa rasa jemu. Anak kecil ini perlu diingatkan selalu supaya dia sendiri dah set dalam otak dia bahawa masjid itu tempat sembahyang.

12.Yakin bahawa anak mampu melakukannya
Melihat perkembangan Hadif di masjid, suami lah yang paling beruntung kerana dapat melihat bagaimana Hadif sembahyang sebaris dengan saf kanak-kanak yang lain. Suami sentiasa berpesan juga kepada Hadif bahawa dia tidak boleh solat sebaris dengan daddy dalam menjelaskan dengan kata yang mudah " Hadif kecil lagi..bila dah besar macam daddy..baru boleh solat sama-sama dengan daddy". Anak kecil ini mengerti, walaupun pada awalnya suami mengadu agak sukar untuk men ceraikan kedudukan beliau dengan anak nya itu. Tetapi lama kelamaan Hadif sendiri ada sifat segan kerana dia melihat sendiri kanak-kanak lain solat sebaris di saf belakang. Pernah sekali dia menangis ketika orang sedang solat,  setelah pulang dari masjid bila ditanya dia mengadu yang ada abang lain bermain di hadapan safnya..Dia takut..pada saya logiklah dia takut kerana rata-rata yang berada disaf itu, adalah kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas.

13. Masjid sebagai medium pembentukan peribadi anak
Bayangkanlah dengan usia nya yang baru berumur 2 tahun itu..mungkin ambil masa untuk dia sesuaikan diri kan. Bagus sebenarnya, kerana bila dia bercampur dengan kanak-kanak lain, dia lebih berdikari. Dan apa yang mengujakan saya, saya sering bertanya kepada suami, terdetik juga lah...Dia tengok kanak-kanak lain bermain tu..dia tidak ikut bermain bersama ke?..Suami menjawab, tidak. Kalau dia tidak solat pun, dia akan duduk melihat gelagat orang lain. Dan pulang ke rumah dia bertanya pula kepada saya,"Ummi..kenapa abang tu main kat masjid..masjid kat tempat sembahyang..nanti centan (syaitan) suka kan..". aduh terkelu nak menjawabnya..

14. Layanilah anak selayak umurnya
Alhamdulillah..syukur..hadif hampir lancar membaca Al fatihah..tetapi saya tidak menjangkakan dia baca  betul mengikut dengung dan sebagainya. Kita faham peringkat anak kecil ini bagaimana. Saya juga selalu berpesan kepada dia, kalau dimasjid kan imam akan baca al fatihah kuat-kuat..ha masa tu la hadif ikut baca sekali. Minggu lepas kami singgah solat berjemaah di masjid Bangi, sempat saya mengintai di celah tirai nak melihat reaksi anak saya disaf bersama kanak-kanak lain. Suami pula tidak jauh dari kedudukan hadif. Buat pertama kalinya saya melihat anak saya solat berjemaah..meruntun hati dan jiwa ibu yang mengandung dan melahirkan beliau..terasa hilang segala penat lelah dan kesukaran sepanjang kehamilan dahulu. Tersenyum saya melihat dia solat mengikut tertib sama seperti kanak-kanak lain. Syukur Ya Allah...

15. Mula mengenali Iqra'
Tahun Baru 2014 ini saya pasang niat dan azam baru. Takut juga nak mulakan, tetapi apapun saya cuba positif. Semalam saya dah mula kenalkan Hadif dengan buku Iqra'. Memang kelihatan anak kecil ini cukup teruja dengan hadiah yang saya berikan kepada dia ini. Saya cakap dengan Hadif, saya beli kan Iqra' sebab dia very good and behave boy. So inilah upahnya utk orang baik. Hari pertama memang mencabar nak ajar si kecil ni , kalau ada sesiapa diluar sana ada tips nanti sudikanlah share dengan saya ye. Macam Kak Lina kongsikan dalam emel beliau, anak lelaki ni mencabarnya lebih besar daripada anak perempuan yang agak teratur. Contohnya situasi ini, saya sebut Ba baris diatas bunyinya Ba, Alif baris diatas bunyi nya Aa. Dia pula betulkan saya,"bukan umi..ni kan Alif..bunyinya Alif la.."..Macam-macam lagi gelagatnya, saya ketawa sampai rasa nak menangis pun ada. Bila dia dah agak bosan tu, dia pula ambil alih tempat saya,"Umi, umi ikut abang baca pulak..ni apa?..ini apa?"..memang pecah perut dibuatnya..

Saya tidak begitu rigid dalam memperkenalkan dia dengan bacaan Iqra' ini. Dan saya juga perlu tambah ilmu dalam mengajar anak mengenal huruf-huruf Al quran ini. Cukup la dengan satu hari satu baris bacaan, pada saya dah memadai dengan umur dia yang hampir mencecah 3 tahun ini.
Saya nak berterima kasih banyak-banyak kepada Kak Lina Karim kerana saya perlu akui yang tips Kaklina melalui emel lah yang banyak bantu saya dalam mengajar Hadif. terasa seperti nak bertemu dan bersemuka dengan insan bernama Lina Karim. Insan yang saya kira banyak membantu ibu bapa diluar sana dalam mendidik anak terutamya dalam cara Islam. Saya akui saya masih banyak belajar tentang ilmu agama kerana banyak yang saya tidak tahu lagi terutamya dalam mendidik anak. Ramai juga yang bertanya kepada saya, melihat kepada perkembangan Hadif yang matang sebelum usia..mereka bertanya apa tips atau rahsia yang saya amalkan? Saya hanya menjawab tiada tips ajaib pun, banyak berdoa, amalkan dan cari ilmu dan salah satu ilmu saya perolehi daripada kak Lina Karim.

Saya banyak juga membeli buku-buku serta CD/VCD dari Kak Lina. Layari http://www.islamicparentingnetwork.net/ untuk sebarang tempahan.

p/s: entri yang agak serius agak membosankan, kan..kekeke...marilah melayan gambar...














Thursday, January 12, 2012

Demi Seorang Anak, akanku gagahkan jua....

Helo..helo..

Dah lama tak cerita aktiviti-aktiviti seharian bersama keluarga tercinta kann..Minta maaf banyak-banyak sangat sebab lately ni too busy dengan persiapan pembukaan blogshop saya and my partner, Mahanis (u can call her Manis..mmg manis orangnya..hehehe)

Okay, permulaan tahun baru ni dimulakan dengan sesuatu yang sangatlah jauh dari diri saya sebenarnya..Kalau tang nak buat ni, tak tau la kemain liat lagi nak mulanya. Biaselah kan, benda baik ni payah nau nak melekat dijiwa, kalau benda tak elok cepat je engko Kemn..hehehe..

Sebagai seorang ibu yang akan melihat anaknya membesar di depan mata, banyak perkara yang terlintas difikiran saya untuk diamalkan demi melihat anak yang kita lahirkan itu akan menjadi seorang yang berguna satu hari nanti.

Mungkin ramai ibu-ibu diluar sana bersependapat dengan saya bahawasanya, untuk menyuruh anak melakukan sesuatu, eloklah sekiranya kita yang mulai dahulu. Kecekapan anak lebih tinggi melihat atau meniru gelagat ibu atau ayahnya berbanding jika kita menyuruhnya melakukan sesuatu dengan menggunakan sesuatu medium.

Sebagai contoh terdekat, dari sudut pemakanan. Kalau kita mak ayah ni tak suka makan sayur, anak akan ikut untuk menolak makanan seperti itu. Tak payah bagi contoh orang lain, saya sendiri sedang melaluinya..Disebabkan obsesi saya pada keropok, naahhhhhhhhh sekarang budah kecik tu memang addict sangat dengan keropok macam ummi dia..grrrrrrr..kalau bagi makanan lain, siap boleh intai pulak tu bekas kopok kat dapur..Lepas ni nak kena tukar bekas la rasanya, sebab dia dah boleh cam dah mana satu bekas simpan kopok tu..hihihi..

Okay, berbalik kepada cerita..Apa yang saya cuba sampaikan disini adalah bekalan ilmu duniawi dan ukhrawi. Bagaimana nak tanamkan rasa cinta kedua-dua ilmu ini dalam diri anak kita? Sama seperti konsep yang saya maksudkan tadi. Kita amal dulu, anak ikut kendian..

Amalan membaca. Fuhhhhh!!! Ha, benda alah ni yang buat aku alahan sebenarnya...hehehe..maklumlah, saya ni bukan jiwa ilmiah..terus terang kat sini saya bagitau..kalau nak suruh baca novel Melayu pun amik masa berbulan-bulan hingga la bertahun untuk khatamkan satu buku tu, ini pulak nak baca Englishhhh...huahuahuaaaa..

Tetapi, seperti tajuk entri di atas..demi seorang anak, akanku gagahkan jua..Lain pulak dengan daddy Hadif. Si daddy nya memang tabiat dari kecik memang suka membaca (saya syak dia ni dalama kelas macam mamat skema duk pegang buku 24 jam..hehe..).Dia ni pulak spesies yang pantang jumpa surat khabar..Kalau paper hari semalam dia tak khatam lagik, boleh pulak ye dia sambung baca hari ni. Memang dahsyat kalau tengok dia membaca, dengan iklan tender, iklan warehouse bagai tu semua dia tibai baca..Sebab tu general knowledge dia power. Sebut jela pasal apa, mesti dia tau..Sampai ex-wife Jimmy Shanley amik dadah pun dia tau ye..

Sekarang ni dia macam slow sikit, tapi dulu masa mula-mula kawin..Ya Tuhan, kemaruk sangat tengok laki aku membaca..Balik keja, baca paper..tengah makan, baca paper..sebelum tido, baca paper..bangun tido pun baca paper..habis aku, nak buat ape??tercegat je ?? Kadang-kadang tu kat mana port dia baca paper tu, kat situ lah dia tido sampai la ke pagi..Pernah dia tido bersama newspaper kesayangan tu kat tepi rak kasut..Gasak tak payah kejut, buat hangin je..bukan dia sedar pun..Kazen dia pernah cerita, punye kemaruk membaca surat khabar...sampai surat khabar yang alas makanan tu pun dia baca tau!


So, untuk mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam mendidik anakku itu, tahun ini aku tekad untuk menambahkan azam baru iaitu MEMBACA..Memang dari dulu lagi suka membaca sebenarnya, tapi baca majalah..hehe..Anjung Seri, Apartmen, Impiana, Mingguan Wanita, bla..bla..bla...Makanya, aku menyahut cabaran sang suami untuk mula membaca buku omputeh..Untuk tidak mengambil risiko, (ya risiko disini bermaksud hangat-hangat tahik hayam..hehehe), saya mulakan bacaaan dengan hasil penulisan Sophie Kinsella iaitu Confessions of a Shopaholic..tertinggal keretapi aku kan? haha

Setakat minggu ini, nampak macam ada improvement dengan helaian halaman yang bergerak..Walaupun agak sibuk minggu ni, tapi saya akan membaca sebelum tidur..Tapi faham-faham je la kalau sebelum tidur tu macam mana..Kengkadang tengah membaca tu, boleh aku terfikir..macam mana lah orang lain boleh kusyuk kemain sanggup tak tidur sampai pagi, in fact ada yang seminggu tak tidur dek kerana penangan membaca novel ni..Aku?? 5 minit je berjaya..pastu...ZZzzzzZZZzzzzzZZZ..

Takpe, niat membetulkan cara..repeat lagi sekali tajuk entri tu..Insyallah..pasti boleh!



Setakat ni citer dia best..lepas selak satu lai, nak selak lagi, dan lagi..
p/s: Buku yang kena buat Review yang wajib kena buat tu pun aku tak khatam habis..illustrasi menarik pulak tu..camne la nasib buku-buku ni nanti,...Korang pernah baca Our Iceberg is Melting?? Best tau, tapi nak buat macam mana kalau dah alahannnnn.... =P

Thursday, December 22, 2011

Bayi Menangis Malam kerana Gangguan Jin?


Assalamualaikum Akmar,


Tajuk saya pada emel kali ini agak menyeramkan bukan? Lebih-lebih lagi hari ini adalah hari khamis dan malam ini malam Jumaat. Bukan untuk menakutkan tetapi untuk berkongsi cerita yang saya teringat untuk menceritakannya pada Akmar. Setiap kali kursus yang saya adakan, saya berjumpa dengan berbagai latar belakang peserta. Sudah tentu pelbagai cerita tentang anak-anak mereka yang dikongsikan bersama saya. Ada beberapa peserta kursus saya mengadu tentang anak mereka yang terlampau kerap menangis. Ada yang hinggakan setiap malam tidurnya mesti dikendong, jika dah tidur dalam kendongan, bila diletakkan ke tilam, ia akan terjaga serta merta dan menangis kembali. Terus saya maklumkan padanya, bagi saya  sudah jelas anak tersebut kena gangguan. 
Kebiasaannya ada sesetengah ibu bapa akan menjadi lebih baran/pemarah. Kemungkinan besar ini disebabkan mereka tidak memahami kenapa bayi mereka menangis. Mereka tidak terfikir langsung bahawa ia disebabkan gangguan makhluk halus. Ramai yang percaya akan kewujudannya tetapi tidak percaya ianya terjadi pada anak mereka!
Jika kita nak tahu sekiranya anak kita menangis kerana gangguan adalah dengan memerhatikan : 

  1. Adakah matanya melilau melihat sekeliling
  2. Menangis yang tiada air mata,
  3. Menangis seolah seperti di cubit,
  4. Menangis dalam keadaan takut,
  5. Tidur dalam keadaan terkejut-kejut,
  6. Tidur di selang seli dengan tangisan
  7. Menangis pada waktu-waktu tertentu setiap hari

Jika kita mengalami keadaan ini, tingkatkanlah kesabaran. Bayi yang tiada gangguan, hanya tidur dan bangun kerana mahu menyusu atau kerana mahu lampinnya ditukar (tak selesa kerana mungkin lampinnya penuh) atau perut kembung. Jika semunya bukan penyebabnya dan mereka masih juga menangis bermakna PASTI ada gangguan.

Jika kita bertanya orang yang 'berpengalaman dulu-dulu' mereka akan menyarankan gelang hitam atau tali untuk dipakai pada bayi. Saya pasti ramai yang telah mengetahui cara ini adalah HARAM iaitu  haram menggantungkan sesuatu pada anak kecuali ayat al Quran dan Hadith Nabi. Tangkal seperti ini ada penunggunya dan ia akan jadi teman anak kita di waktu-waktu dia membesar. Maka akan ada sahajalah halangan untuk anak tersebut mempelajari al Quran atau benda lain yang baik-baik. Maka elakkanlah daripada cara ini walau terdesak mana pun kita.


Apa yang kita boleh buat jika tanda-tanda menunjukkan anak kita ada gangguan?
  1. Beralih tempat pergi ke bilik lain yang di rasakan tenang, sebaik-baiknya bilik solat
  2. Bacakan pada bayi ayat-ayat Al Quran ( AlFatihah, Qursi, dan 4 Qul ) Niat untuk menghindarkan gangguan pada bayi dan hembus di ubun2 dengan perlahan.
Untuk maklumat lanjut tentang cara menghindarinya, boleh layari website ini.

Monday, December 19, 2011

Doa Untuk Anak Nakal dan Hyper

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga. Ini memang tidak dapat dinafikan, selain usaha-usaha yang perlu kita ambil. Segala kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

1. Amalkan membaca baca 'Ya Latif' sebanyak 7 kali dan dihembuskan kekepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.

2. Kita perlu banyak bersabar dalam usaha-usaha kita menangani anak-anak zaman sekarang yang begitu aktif. Kita perlu pujuk bukan marah.

3. Baca al-Fatihah, Baca surah Taha ayat 1- 5.

Kemudian baca doa NABi DAUD sebanyak 3 kali -

"YA ALLAH LEMBUT KAN HATI ANAKKU (SEBUT NAMA) SEBAGAIMANA ENGKAU  LEMBUTKAN NABI DAUD AKAN BESI"  dan hembuskan pada makanan atau minumannya.

4. Untuk suri rumah yang sedang memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

5. Ini diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini Insya-Allah adalah doa pelembut hati.


Tambahan INFO:

Jangan galakkan anak pakai baju warna oren. Dari psikologi warna, warna oren boleh merangsang secara aktifnya tindak-tanduk anak dan akan menjadi hyperaktif.

 Sumber : ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

Tuesday, November 15, 2011

Langkah Pertama Mengajar Bayi

Artikel oleh: Lina Karim

Assalamualaikum Akmar,

Begitu cepat masa berlalu.. Setiap minggu baru bermula, pejam celik dah hari Jumaat.. Terasa baru lagi masuk tahun 2011, sekarang dah habis setengah tahun berlalu. Begitulah kehidupan kita sehari hari.. Kita sentiasa sibuk berlari mengejar hari. Itu adalah tentang kita dan dunia kita.


Bagaimana pula dengan dunia anak kita? Adakah mereka merasa begitu. Mereka adalah sebaliknya pula. Masa berlalu begitu lambat dan amat membosankan. Kadang-kadang terlihat dengan jelas kebosanan di mata mereka. Jika bayi, mereka akan menangis kerana kebosanan berbaring, jika kanak-kanak mereka akan bosan kerana terperap dirumah kerana belum lagi bersekolah. 

Walaupun ada aktiviti menonton TV, tetap mereka akan jadi bosan menonton TV jika ianya sepanjang hari. Sayang sekali, jika masa yang mereka lalui setiap hari ini disia-siakan. Ia nya begitu setiap hari hinggalah mereka mula bersekolah, barulah pengisian ilmu juga bermula. Jika kita dapat meluangkan masa walau hanya setengah jam setiap hari bagi mengisi masa-masa bosan mereka ini, akan menyebabkan anak kita jadi beberapa langkah lebih cerdik dari kanak-kanak lain.


Bagaimana bermula? Saya tidak mengenali secara peribadi Akmar. Namun nasihat saya, jika mempunyai anak yang masih bayi, ajarkan dengan menggunakan pendengaran dahulu. Cuba kita perhatikan  hari pertama bayi dilahirkan, mereka disambut dengan azan dan iqamat. Tanpa mengetahui dan mempelajari fakta sains pun, jika kita adalah dikalangan dari orang yang memerhati, kita diberi pelajaran bahawa bayi boleh diajar dengan pendengaran.


Alam bayi semasa dalam kandungan adalah gelap, tiada apa yang dapat mereka lihat. Tanpa penglihatan, deria pendengaran mereka sangat tajam. Hanya deria pendengaran sahaja yang mereka boleh gunakan ketika didalam kandungan. Bila lahir, deria inilah juga yang kita boleh gunakan untuk mengajar mereka bukan sahaja kalimah Allah dalam azan dan iqamat, malah kalimahNya yang lain dalam Alquran.


Yang menjadi masalahnya, kebanyakkan ibu dalam tempoh berpantang, mungkin kerana kebosanan, berbagai telenovela dan cerekarama jadi santapan mata. Bayi yang baru lahir yang selalunya berada di sebelah ibu yang berpantang, yang masih tidak membuka mata, turut mengisi pendengarannya dengan bermacam-macam masalah dunia dari cerekarama yang tiada kesudahannya itu. Jadi jangan salahkan anak kita bila dah besar, dia pula buat cerekarama dan menyusahkan hati kita.


Alangkah baiknya jika, bayi tersebut, setelah pulang kerumah, diisi dengan ayat alquran setiap hari. Ibu yang berpantang juga akan mendengarnya dan secara automatik, susu yang di hasilkannya akan mengandungi khasiat ayat Al Quran yang didengarnya itu. Inilah konsep letak air ketika kita membaca Yassin. Air Yassin tersebut boleh menjadi penawar orang kerasukkan histeria dan lain-lain. 


Terbukti dalam kajian sains bahawa air yang didedahkan dengan kata kata yang elok atau ayat alquran mempunyai susunan molekul yang cantik dan seragam. Begitu juga dengan susu badan kita jika kita sendiri mendengar ayat ayat suci Al Quran. Jadikan susu badan kita bukan sahaja berkhasiat secara fizikalnya dengan penuh DHA (minyak ikan yang dimakan ibu yang menyusu), ekstrak daun zaitun olive oleo, kismis, badam, dll, malah susu badan kita  tersebut penuh dengan khasiat kerohanian yang akan menjadi darah daging anak kita. Jadilah anak ini secara semulajadinya suka akan alquran.


Nasihat saya, gunakanlah pendengaran. Perdengarkanlah.. Maka, jika ingin membeli produk saya, produk pertama yang saya cadangkan adalah CD Audio Al quran yang boleh didapati di http://www.islamicparentingnetwork.com. Ia sesuai untuk bayi baru lahir dan keatas. Apa lagi kalau CD Audio tersebut bersuara kanak-kanak, yang memang secara semulajadi disukai oleh kanak-kanak lain.


Ada juga yang bertanya, anak saya dah besar. Dah nak masuk sekolah. Macam mana tu? Elok juga diperdengarkan dengan ayat Al Quran terutamanya Juzuk Amma tu kerana senang untuk mereka menghafalnya bagi dibawa sebagai surah dalam solat. Dah nak hampir umur wajib solat dah tu. Bila dah hafal, jika mereka disekolahkan ke sekolah agama rakyat ke, senanglah nak lulus periksa. (Dengar ayat pasal nak lulus periksa, haha)


Apapun, langkah permulaan atau langkah pertamanya adalah mendengar dan diperdengarkan! Ini akan membantu ketika kita ingin mula mengajar mereka menghafal. dan mulakan seawal yang boleh. Dan percayalah mengajar mereka mengenal 26 huruf hijaiyah lebih susah dari mengajar mereka 26 huruf ABC kerana usaha keras syaitan yang akan sentiasa berada ditengah-tengah kita ketika kita mengajar anak kita. Mereka takut akan potensi anak tersebut yang akan menguasai Alquran bila ia dewasa nanti. Maka jika ada hari kita berasa tidak bersemangat untuk mengajar anak kita, ingatlah akan itu sebenarnya dari syaitan.

Ikhlas dari,
 

Lina Karim




Monday, November 14, 2011

Memasukkan Al Quran Ke Minda Bawah Sedar

Artikel oleh: Lina Karim
Salam Akmar,

Baru-baru ini kedua-dua anak saya, Darwish dan Darwisya, telah membuat persembahan di hadapan 5,000 orang di Kediaman Rasmi Menteri Besar. Seperti biasa mereka seolah-olah tiada apa-apa yang akan berlaku sebelum persembahan tersebut. Yang terlebih 'nervous' adalah mama mereka. Alhamdulillah mereka membacakan hafazan mereka dengan baik.

Bayangkan, semasa gangguan dari mikrofon mengumumkan nombor plet kereta yang menghalang laluan keluar masuk diumumkan, mereka tetap masih meneruskan bacaan seolah tiada gangguan langsung yang berlaku ketika itu. Alhamdulillah mereka berjaya untuk tetap fokus pada bacaan mereka. Kadang-kadang terlihat anak saya melambai lambai pada kanak-kanak yang berpusu-pusu menyaksikannya menghafaz sambil tersenyum. Saya percaya ini adalah kerana Al Quran itu telah masuk ke dalam minda bawah sedar mereka. Ini berbeza jika kita menghafal cara biasa, dimana ibu saya sendiri pernah berkata, contohnya jika dia ingin membaca surah panjang seperti As Sajadah, jika dia tidak duduk diam dan tunduk betul-betul mengingatkan ayat yang ingin dibacanya, dia tidak boleh menghafaz dengan lancar! Ibu saya sendiri hairan melihat Darwisya dapat menghafaz Surah Sajadah sambil mewarna buku lukisannya atau bermain basikal! Atau Darwish menghafal Surah Al Buruj sambil memanjat kerusi..

Berbalik kepada Majlis di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, saya mempunyai cara saya sendiri untuk memotivasikan anak saya untuk tidak takut dan bersemangat untuk membuat persembahan. Suami saya panggil saya ni ibu yang kejam (haha..) tapi saya tak kisah lah. Saya akan beli barang mainan yang mereka suka dan kemudian mereka tidak dibenarkan untuk membukanya. Kejam ke tu? Kalau ia masih dalam kotak dan berplastik, mereka hanya boleh memegang dibahagian luar sahaja dan tidak boleh membukanya hinggalah mereka membuat persembahan tersebut.  Dan selepas mengaji saya selalu menceritakan akan meriahnya 'Birthday Party' yang akan diadakan selepas persembahan tidak lama lagi tersebut. (takdelah semeriah mana pasal celebrate pun dgn anak-anak sedara mereka je). Saje untuk bagi mereka semangat.. Akhirnya mereka look forward untuk membuat persembahan.

Alhamdulillah kerana Allah Maha Pemurah kepada saya. Bayangkan kalau anak saya cuma pandai menghafaz tapi bila di suruh ke pentas atau berdepan dengan orang ramai, mereka jadi kaku. Tak ke aniaya jadinya? Seperti konsert di Sekolah Darwisya baru-baru ini, ada kanak-kanak berdiri ditepi pentas sambil menangis kerana tidak mahu beraksi padahal dah pun disiapkan dengan costume yang cantik untuknya beraksi. Kasihan saya melihat dia. Oklah.. Untuk gambar dan sebahagian video anak saya pada majlis tersebut, boleh lihat di http://www.islamicparentingnetwork.com/blog.html

Ikhlas dari,
 

Lina Karim




Thursday, October 13, 2011

Al Quran Menyatu Dalam Darah dan Daging Anak Kita

Artikel oleh: Lina Karim

Barat mempopularkan mengajar dari kecil sebagai 'Early Childhood Education'. Berbagai artikel ditulis oleh pakar yg punya nama  'Dr' didepan yang mengupas kebaikkan mendidik dari awal. Kemudian mereka mencipta pakej pendidikan yang dinamakan dengan pelbagai nama glamer dan dipromosikan secara meluas. Orang Islam pula menganggap mereka pencetus kepada idea 'Pendidikan Awal Kanak-Kanak' ini. Seolah-olah kita tidak pernah mendengarnya selama ini. Sehingga syllabus 'Diploma in Early Childhood Education' yang dianjurkan di Universiti dan Institusi Pengajian menjadi tempat menuntut ilmu tersebut dan semestinya ia mengarah ke Barat. Sedangkan jika kita mengetahui, Early Childhood Education yang diwar-warkan Barat itu sudah ada dalam budaya Islam beribu tahun yang lalu!

Jika kita rajin mengkaji kisah kisah orang Islam dahulu, kita tentu mengetahui tentang amalan mendidik anak-anak pada usia awal telah lama menjadi budaya mereka. Pada usia berapa mereka memulakan pada anak mereka? Sekadar memetik satu kisah... diceritakan Abu Asyim berkata: "Aku pergi membawa puteraku yang ketika itu usianya 2 tahun lebih menuju ke rumah Ibnu Juraij agar dapat belajar AlQuran dan Hadith darinya". Abu Ashim mengatakan lagi: "Adalah tidak mengapa jika seorang anak diajar Al Quran dan juga Hadith dalam usia seperti ini".

Zaman Islam ketika itu, ibubapa berlumba-lumba untuk mendidik anak mereka secepat mungkin dengan Al Quran kerana memegang akan hadis di bawah ini:

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan secara marfu' : "Siapa yang mempelajari al Quran ketika masih muda, maka alQuran itu menyatu dengan daging dan darahnya. Dan siapa yang mempelajarinya ketika dewasa, ilmu itu akan lepas darinya dan tidak melekat pada dirinya, maka dia mendapatkannya pada hal dua kali". (Diriwayatkan oleh Baihaqi, Dailam dan Hakim).

Maka begitulah manfaatnya jika kita berusaha memasukkan al Quran ketika mereka masih kecil. Jika Al Quran sudah menyatu dalam darah daging anak-anak kita, hati, jiwa, tindakan dan perbuatan mereka semuanya tercetus kerana Allah. Maka terlindunglah mereka dari gejala sosial dan berbagai dosa dan maksiat di zaman yang semakin mencabar ini.

Jika ada ibubapa bercita-cita untuk menjadikan anak mereka penghafaz al Quran dan langkah menuju kearah cita-cita tersebut hanyalah dengan menunggu anak mereka mencapai umur yang sesuai untuk diserahkan/dimasukkan ke mana-mana sekolah Tahfiz, maka kesannya tidak sama. Saya pernah melawat sebuah sekolah tahfiz untuk bertanya tentang pendaftaran dan kebetulan ada seorang ibu ingin memasukkan anaknya ke sekolah tersebut kerana sudah tidak tahan dan tidak dapat mengawal anaknya yang terlalu liar.
Samada anak kepada ibu tersebut diterima masuk atau tidak.. wallahua'lam. Jika diterima, tentu sekali mengajar al Quran kepada hati yang telah liar ini lebih sukar berbanding hati yang telah terdidik dengan Al Quran dari kecil.

Maka dengan coretan ini saya harap kita bersemangat  dalam mendidik anak kita dengan Al Quran dan janganlah kita menjadi antara orang yang menunggu kemudian hari untuk perkara yang sepatutnya menjadi paling utama ini. Bermulalah segera.. 



Ikhlas dari,
 

Lina Karim


Nota: Saya melanggan artikel yang ditulis oleh Kak Lina Karim untuk menambahkan ilmu mendidik anak disamping dapat berkongsi cetusan pandangan daripada anda juga!! =)


"Like" Entri Ini Jika Anda Rasa Menarik


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...