Refleksi Diri

EKPRESIKU...

Tuesday, July 10, 2018

Dekorasi #therockyscottage di Akhbar KOSMO

Akhbar KOSMO! AHAD 6 MEI 2018
OLEH: KHAIRIYAH HANAFI

MODEN KLASIK EROPAH PILIHAN AKMAR

Deretan rumah-rumah kampung yang diperbuat daripada papan mengiringi perjalanan kru Panaroma ke kediaman milik pasangan suami isteri, Noor Akmar Mohamed Azmaili, 33, dan Mohd Yusri bin Yusof @ Jusoh, 38.

Melihatkan keadaaan sekeliling imej sebuah rumah kampung dengan halaman dipenuhi pokok-pokok bunga aneka warna yang sering dilihat di kaca televisyen tiba-tiba bermain di kotak fikiran kami.

Imej tersebut bagaimanapun lenyap sekelip mata taktala penunjuk jalan Waze yang digunakan kami membelok masuk ke sebuah simpang kecil yang menempatkan kawasan perumahan Tiara Heights.

Pada waktu itu, perasaan teruja mula mengulit diri, lebih-lebih lagi apabila melihatkan lebih 100 unit rumah tersergam indah di kawasan tersebut.

Siapa sangka ratusan kediaman dua tingkat semi-D dengan seni bina moden dan mewah tersembunyi di sebalik kawasan perumahan kampung di Sepang, Selangor.

Sebaik sahaja kenderaan diberhentikan di hadapan pintu pagar kediaman berkeluasan 227 meter persegi itu, Noor Akmar Mohamed Azmaili menjemput kami masuk ke dalam "mahligai" yang dihuni keluarganya.

Pujian menggunung tidak semena-mena terpacul keluar dari bibir kami sebaik melihat kekemasan dekorasi dan teman yang dipadankan pada keseluruhan ruang.

Sambil tersenyum manis, wanita yang lebih mesra dipanggil Akmar itu pelawa kami melabuhkan punggung di ruang tamu utama kediaman tersebut.

"Rumah ini dibeli sekitar tahun 2011. Ketika baharu sahaja berpindah ke sini, kami suami isteri menata rias kediaman ini dengan elemen moden minimalis yang mana susun atur dan pemilihan perabot lebih ringkas dan praktikal.

"Konsep tersebut dipilih kerana pada waktu itu, anak-anak kami masih lagi kecil dan memerlukan ruang yang lebih besar dan praktikal untuk belajar berjalan", jelasnya.

Pereka Fesyen

Bagaimanapun, menurut Akmar lagi, seiring peredaran waktu dan keadaan anak-anak yang semakin membesar, mereka kemudian mengubah tema kediaman ini kepada moden klasik Eropah pada awal tahun lalu.

Idea tersebut mula tercetus selepas Akmar terinspirasi dengan kediaman pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim. 

Disebabkan terlalu meminati konsep yang diketengahkan oleh pereka fesyen itu, Akmar kemudian mula melakukan penyelidikan dengan pelbagai bahan bacaan di internet untuk mengenali dengan lebih mendalam konsep yang diingin dipraktikkan.

Dari situ, dia kemudian dipertemukan dengan pelbagai gambar yang menonjolkan kediaman-kediaman bertemakan moden klasik Eropah.

"Saya lebih gemar kediaman berkonsepkan moden klasik Eropah kerana ia berlainan daripada konsep yang sering menjadi pilihan bagi kebanyakan individu di negara ini".

"Sebagai contoh, jika ikita melihat masyarakat di negara ini kebanyakannya gemar menggunakan kerusi set lengkap yang sedondon pada setiap ruang kediaman mereka". 

"Bagaimanapun, berbeza dengan masyarakat Eropah yang mana mereka gemar melakukan konsep suai dan padan pada keseluruhan ruang kediaman. Konsep tersebut mampu membuatkan kediaman tampak hidup dan mempunyai nilai estetika yang tersendiri".

Menceritakan lebih lanjut mengenai kediaman yang mempunyai empat bilik tidur dan satu bilik utiliti itu lagi, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata, dia dan suami memilih rona biru untuk dijadikan warna utama kediaman tersebut.

"Sejak kecil lagi saya memang gemar warna biru. Kebetulan warna kegemaran saya sesuai dengan tema yang dipilih, jadi kami suami isteri bersepakat untuk menggunakan warna dominan kediaman tersebut". 

"Bagaimanapun, bagi menyeimbangkan penggunaan warna pada kediaman dan mengelakkan keseluruhan ruang terlalu mendatar, saya turut menggabungkannya dengan rona-rona cerah yang lain seperti putih dan krim", jelasnya.

Menurut Akmar lagi, bagi menyerikan lagi kediaman yang dihuninya itu, dia memilih jambangan bunga orkid artifisial untuk dijadikan aksesori kediaman.

Eksklusif

Bagi menyerlahkan lagi sisi luas kediaman tersebut, penggunaan cermin besar turut dipraktikkan pada beberapa ruang.

Sementara itu, bagi menonjolkan nilai eksklusiviti kediaman pula, pasangan suami isteri ini menggunakan percikan lampu rona kuning pada keseluruhan kediaman tersebut.

Biarpun keseluruhan ruang tampak eksklusif, namun percaya atau tidak, kesemua susun atur dan tata rias di dalam kediaman tersebut dilakukan oleh mereka suami isteri tanpa menggunakan khidmat pakar hiasan dalaman.

Lebih menarik apabila semua idea yang digarap disempurnakan menerusi idea dan perbincangan yang dilakukan oleh mereka suami isteri berdasarkan bahan bacaan yang diperolehi daripada internet.

Disebabkan itu, cerita Akmar, dia dan suami hanya membelanjakan RM50 ribu, untuk kos keseluruhan dekorasi dan pengubahsuaian (termasuk grill, langsir, kabinet dapur, kabinet tv & semua perabot di setiap ruang)

Melihatkan keseluruhan sudut kediaman tersebut, ternyata Akmar dan suami bijak menata rias dan meyeragamkan warna yang dipilih pada kediaman itu sehingga ia berada pada kelas yang tersendiri.

"Kami suami isteri begitu menitikberatkan mengenai aspek dekorasi kediaman ini kerana ia merupakan nadi kehidupan kami sekeluarga".

"Selain menjadi terapi jiwa, ia juga mampu mewujudkan perasaan tenang dan tenteram setiap kali pulang dari tempat kerja, "jelasnya.



















===============================================

Ini adalah artikel yang dipetik daripada akhbar Kosmo. Insyallah kalau ada ruang dan waktu, aku akan kongsikan ilham-ilham dekorasi untuk di setiap sudut pada entri selepas ini.

Terima kasih KOSMO kerana masih memberi peluang kepada kediamanku menghiasi ruang akhbar ini.

7 tahun lalu kediaman kuarters ku telah diberi ruang untuk menghiasi ruang Jurnal di akhbar KOSMO. Boleh baca DISINI

1 yang mengekspresikan diri:

Juls Julie80 said...

salam ziarah sis..salam perkenalan.

sukanya tengok deko camni... boleh jd sumber inspirasi ni..

jemput singgah blog kite yer sis.. http://julsjulie80.blogspot.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...