Refleksi Diri

EKPRESIKU...

Me@Media

AKHBAR KOSMO! AHAD - 21 OGOS 2011
Oleh: Siti Nor Afzan Kasiman


RUMAH PENCINTA BIRU PUTIH




BILIK serba biru putih menterjemahkan kecintaan Akmar pada dua spektrum warna ini.


TIDAK ramai wanita meminati warna biru yang lebih sinonim dengan lelaki. Jika ada sekalipun, minat itu hanya tertumpu kepada baju.

Lain pula kisahnya dengan Noor Akmar Azmaili, 26, cintanya pada warna langit ini diterjemah hampir kepada seluruh barangan miliknya.

Malah, ibu kepada Muhammad Hadif Akhtar yang baru berusia enam bulan ini turut meletakkan warna biru sebagai syarat wajib tatkala menghias kediamannya.

Ketika melangkah masuk ke rumah teres dua tingkat ini, spektrum biru dapat dilihat di mana-mana.

Daripada hiasan lilin tinggi di meja makan, jambangan ros mekar, hinggalah batang sudu garpu, semuanya dipilih daripada warna kegemarannya itu.

“Saya memang minat dengan warna biru. Apa sahaja yang ada kaitan dengan biru saya akan beli.

Janggal

“Sebab itu kalau diperhatikan rumah ini, daripada pinggan, bekas lilin, sarung tilam, alas kaki, berus dapur hinggalah ke bakul sampah, semuanya warna biru, cuma tona warnanya yang berbeza.

“Ada yang gelap, ada yang cerah. Ada juga yang terhasil daripada campuran warna. Asalkan ada unsur biru, ia memang memikat hati saya,” ujarnya.

Sungguhpun anak kelahiran Kuantan, Pahang, ini meminati rona biru, dia bagaimanapun tidak mahu kediamannya didominasi warna tersebut.

“Saya tidak mahu ia nampak janggal di mata tetamu. Walaupun minat, tetapi untuk menghias rumah saya perlukan warna lain seperti putih supaya si biru naik serinya,” ujar Akmar.

KATIL tidur Hadif yang dihias daripada padanan warna merah dan biru.


Untuk lari daripada kebiasaan birunya, ruang tamu kediaman yang mengunjur ke belakang sengaja dihias dengan padanan rona kontra hitam putih.

“Ruang tamu ini tidak begitu luas, sebab itu saya dan suami memilih perabot dan aksesori rumah daripada warna cerah.

“Kami juga tidak gemarkan ornamen kecil untuk dijadikan hiasan kerana ruang yang polos begini lebih mudah untuk dibersihkan,” jelasnya yang gemar hiasan bersaiz besar.

Selari dengan gaya penataan tersebut, Akmar memilih untuk menggantung bingkai cermin besar dan bingkai kaca yang mengandungi tulisan kalimah suci daripada warna putih gading buatan Iran sebagai tarikan mata di ruang ini.

Obses

“Langsir berbunga yang sarat di tengah itu pula sengaja dipilih bagi mencipta satu titik fokal di ruang ini,” ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam di Cyberjaya.

Melintasi ruang dapur yang terletak di sebalik dinding ruang makan, Akmar beruntung kerana memiliki ruang dapur yang luas.

Kabinet terbina dalam daripada rona kayu menjadikan dapurnya lebih rapi dan kemas.

“Ia memang satu kelebihan kerana saya suka anjurkan majlis makan-makan di rumah ini khasnya bersama keluarga dan rakan-rakan,” tambah isteri kepada Muhammad Yusri Yusuf, 31, ini.

Menginjak ke tangga yang menghubungkan lantai bawah dan tingkat atas, dinding putih enggan disaratkan dengan gantungan bingkai gambar sebaliknya ia hanya dihias dengan lekapan lampu malam. 

Ringkas tetapi sangat membantu menaikkan mood romantik waktu malam. 


PILIHAN warna kontra menghias ruang tamu.



Di lantai atas, terdapat ruang menonton peribadi dan tiga kamar termasuk kamar utama dan kamar bermain milik anaknya.

“Biasanya waktu malam banyak dihabiskan di tingkat atas. Saya dan suami akan menonton televisyen sementara Hadif bermain di biliknya yang sentiasa terbuka,” kata Akmar.

Barangan untuk bilik si anak yang dipenuhi mainan lembut ini dipilih atas gabungan idea bersama suami iaitu biru merah.

Di kamar utama pula, Akmar memilih perabot daripada warna putih untuk menjadikan ruang kelihatan lebih luas.

Bagaimanapun, hiasan dalaman dan aksesorinya tidak boleh lari daripada warna biru.

Buktinya, alas tilam selesa daripada padanan rona firus dan krim menjadi pilihannya.

Agar ruang tidak terlalu kosong, bahagian atas kepala katil dihias dengan bingkai lukisan manakala ruang tepi katil diserikan dengan susunan bunga tulip warna cerah serta bingkai gambar perkahwinannya.

“Saya gemarkan rumah yang bersih dan kemas. Hiasannya pula tidak semestinya mahal tetapi perlu kelihatan menarik.

“Saya pilih warna biru bukan kerana obses semata, tetapi kerana ia mampu menyuntik ketenangan ketika saya berada di rumah,” jelasnya.


Nota: Untuk cerita lanjut mengenai ini, sila kilik SINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...