Refleksi Diri

EKPRESIKU...

Tuesday, March 27, 2012

Ya Allah! Aku masih sukar menerima pemergiannya...AL-FATIHAH

Assalamualaikum...

Kalau diikutkan hati, berat sungguh rasanya nak menaip entri kali ini..Kiranya hari inilah rasanya Tuhan beri saya kekuatan untuk menulis setelah beberapa hari lepas dikejutkan dengan berita yang amat tragis kepada saya sekeluarga pada hari Khamis malam Jumaat, 22 Mac 2012. Bagi kawan-kawan FB sudah tentu sudah boleh agak apa lah yang nak saya kongsikan dalam entri kali ini kan? Sejak arwah meninggalkan kami, saya seringkali update mengenai kejadian ini di FB.

Pertama sekali saya nak pohon jasa baik kawan-kawan untuk sedekahkan AL-FATIHAH kepada arwah bapa saudara saya yang terlibat dengan kemalangan akibat dilanggar oleh sebuah bas persiaran ketika beliau sedang bertugas mengawal trafik dan lalulintas di kawasan Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Berat mata memandang, berat lagi kesedihan yang dirasai oleh isteri dan anak-anak arwah. Tarikh pemergian arwah sudah tentu menjadi tarikh keramat yang paling sukar untuk dilalui saban tahun selepas ini. Saya menerima panggilan daripada umi kira-kira jam 3.00 pagi. 

Dengan nada tenang satu persatu umi menyusun ayat, " Kema,..umi nak beritahu kema ni..tapi umi nak kema tarik nafas panjang-panjang..sabar banyak-banyak okey..umi nak bagitau Kema yang Pokdin (arwah) dah takda..Pokdin meninggal pukul 11.00 malam tadi, accident..". 

Ya Allah..luluhnya hati..bagai diragut jantung mendengar berita yang sangat mengejutkan saya. Mulai saat itu, bermacam-macam persoalan terlintas difikiran saya. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ini adalah mengenangkan nasib isteri dan 5 orang anak arwah. Ya Allah..Engkau kuatkanlah hati mereka sekeluarga..Lindungilah mereka semua Ya Allah..Berat sungguh dugaan yang kau uji ini...

Sedih tidak terkata dan sampailah ke hari ini masih sukar untuk saya gambarkan perasaan saya. Rasanya mungkin kerana masih tidak bersedia untuk kehilangan arwah dengan keadaan yang sungguh menyayat hati. Arwah merupakan anak ke-4 daripada 10 orang adik-beradik sebelah abah, yang mana abah adalah Abang Long kepada 9 adik-beradik. Arwah memang rapat dengan abah kerana perwatakan mereka lebih kurang sama. Suka bergurau, berseloroh bukan sahaja dengan anak-anak, malah begitu juga dengan anak-anak saudara dan adik-beradik beliau sendiri. Bertambah pilu bila mengenangkan sifat penyayang arwah kepada kelima-lima anaknya yang kadang-kadang dilihat gelagat mereka seperti rakan sebaya. Pendek kata, sangatlah loving family...

Walaupun hanya arwah sahaja yang tinggal nun jauh di Johor, akan tetapi hubungan mereka 10 beradik tetap akrab. Betul lah kata pepatah, air dicincang ditidak akan putus..Akan tetapi, ajal maut di tangan Tuhan. Kini, kami semua terputus hubungan dengan beliau di dunia ini..Sedih tidak terkata..

Entah kenapa hati saya ini rasa teramatlah sedih dengan pemergian arwah. Mungkin tidak bersedia dengan cara arwah meninggalkan kami semua. Hanya kerana kecuaian, kelalaian, kesilapan orang lain,..arwah menjadi mangsa. Saya beranggapan bahawa arwah pergi meninggalkan kami dengan syahid. Arwah meninggal ketika bertugas berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara. Melalui pembacaaan saya juga, orang yang mati syahid adalah orang yang mati pada siang atau malam Jumaat.Wallahualam...


Hanya tinggal kenangan..Arwah bersama isteri, Norsiah Amin dan 5 anak-anak: farhana, fikah, farzana, Muhammad dan Irsyad


Dibawah saya rangkumkan berita mengenai kemalangan arwah untuk dikongsikan bersama. AL-FATIHAH kepada arwah, Ismayudin Ismail, 50 tahun. Semoga arwah ditempatkan bersama golongan-golongan yang syahid..

***************************
Sumber: myMetro

BAJU SERBA PUTIH

ANGKAT...rakan dan ahli keluarga mengangkat jenazah Allahyarham Ismayuddin (gambar kecil) di rumah keluarganya di Felda Taib Andak, semalam.
ANGKAT...rakan dan ahli keluarga mengangkat jenazah Allahyarham Ismayuddin (gambar kecil) di rumah keluarganya di Felda Taib Andak, semalam. 
KULAIJAYA: “Terdetik di hati saya seperti ada yang tidak kena selepas melihat arwah tujuh beranak berpakaian serba putih ketika majlis perkahwinan anak sepupu kami di Kluang, Sabtu lalu.
“Kini, terbukti apa yang saya rasakan itu benar-benar berlaku,” kata Salmah Ismail, 65, kakak ipar kepada Allahyarham Koperal Ismayuddin Ramli, 50, yang maut dirempuh bas ketika bertugas di Bangunan Sultan Ismail (BSI), di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, lebih menghairankan ketika majlis kenduri itu, arwah selama ini dikenali dengan sikap suka bergurau dan mengusik, hanya berdiam diri.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, Allahyarham Ismayuddin dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) bertugas mengawal lalu lintas bersama seorang lagi rakan, maut selepas dirempuh bas dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.

**********************

Sumber: Sinar Harian

ANGGOTA POLIS MAUT DILANGGAR BAS PERSIARAN


Jenazah
KULAIJAYA - Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal maut selepas dilanggar sebuah bas persiaran ketika sedang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, kelmarin.

Kejadian jam 11.55 malam itu mengakibatkan mangsa, Ismayuddin Ismail, 50, anggota yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian, Ismayuddin yang sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 20 tahun lalu sedang mengawal aliran keluar masuk kenderaan dari Singapura-Johor Bahru.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mangsa dilanggar sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura yang hilang kawalan di laluan bas di BSI.

“Kejadian ini berlaku di 200 meter dari pintu masuk BSI. Bas yang dipandu seorang wanita itu bas terlebih dahulu melanggar dua kenderaan lain sebelum melanggar tembok pengadang di tengah-tengah laluan lalu merempuh mangsa, sebelum berhenti di kedudukan 150 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera parah akibat pelanggaran ini meninggal dunia di tempat kejadian ketika sedang bertugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berserta anggota dan pegawai PDRM negeri ini.

Menurutnya, pemandu bas wanita warga tempatan itu kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan rapi akan dijalankan. Berdasarkan semakan rekod dibuat, pemandu bas yang ditahan memiliki satu saman kerana melanggar lampu isyarat.

“Pada hari ini (semalam), saya hadir mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan seluruh warga Polis Johor menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Selain itu, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya akan membantu mempermudah serta mempercepatkan segala urusan kebajikan balu dan lima cahaya mata mangsa berlandaskan hubungan kekeluargaan yang terwujud dalam pasukan polis di negeri ini.

*************************
Sumber : Utusan

Anggota trafik maut dilanggar pemandu bas wanita

23/03/2012 4:36pm

JOHOR BAHRU 23 Mac – Seorang anggota polis trafik cawangan Johor Bahru Selatan, Koperal Ismayuddin Ramli, 50, maut setelah dilanggar sebuah bas persiaran berhampiran persimpangan ke pintu masuk Tambak Johor dari arah Singapura.

Dalam kejadian pukul 11.55 malam semalam, bas terbabit yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang sedang mengawal lalu lintas, 200 meter dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Mangsa yang berasal dari Felda New Zealand, Pahang itu meninggalkan seorang balu dan lima orang anak berusia antara empat hingga 22 tahun.
Terdahulu, Mohd. Mokhtar turut menziarahi jenazah Ismayuddin di rumah keluarga mertua mangsa di Felda Taib Andak di sini hari ini.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Nurussa'idah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam felda tersebut. – UTUSAN

******************************
Sumber: Berita Harian Online

Pemandu bas wanita dituduh rempuh polis
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail

2012/03/27

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas wanita dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini semalam, atas tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang anggota polis trafik dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar di sini pada malam Khamis lalu.

Wong Lim Chan, 48, dituduh memandu sebuah bas bernombor pendaftaran Singapura secara melulu dan membahayakan pengguna lain di kawasan Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) Bangunan Sultan Iskandar di sini, hingga menyebabkan kematian Koperal Ismayuddin Ismail, kira-kira jam 11.35 malam 22 Mac lalu 
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesen memandu digantung.
Lim Chan mengaku tidak bersalah sejurus mendengar tuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran di depan Majistret Maslinda Selamat.

Ravindran memohon supaya Lim Chan dikenakan ikat jamin RM12,000 oleh seorang penjamin tetapi Maslinda menetapkan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu Lim Chan digantung sehingga perbicaraan kes itu selesai dan menetapkan 24 April ini sebutan semula kes itu sementara menunggu serahan dokumen sebelum menetapkan tarikh perbicaraan. Lim Chan membayar jaminan yang ditetapkan itu.

Sebelum ini pada 22 Mac lalu, Ismayuddin maut dirempuh sebuah bas dan diseret hampir 150 meter ketika bertugas di laluan keluar KIK Bangunan Sultan Iskandar dekat sini.
Dalam kejadian, Ismayuddin yang bertugas dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan memulakan kerja lebih awal seperti diamalkannya selama ini, maut di tempat kejadian selepas dirempuh bas bernombor pendaftaran Singapura terbabit.

Mangsa dirempuh bas yang hilang kawalan itu dari arah depan dan cedera teruk selain turut diseret. Seorang rakan setugas mangsa bagaimanapun sempat mengelak daripada dirempuh.

Sumber: YouTube

Video Kemalangan Maut Polis Trafik Terbunuh Di CIQ Johor Bahru


5 yang mengekspresikan diri:

Ceritera Cinta said...

last week ms masuk berita, k.gee bgth abah nie adik pakcik azmali..abh ckp bkn la sbb nama bapak ramli, nm ayh pkck azmali ismail..rpnyer typing error kot..alfatihah..smg roh arwah ditempatkan dikalangan org yg beriman..amin

Ceritera Cinta said...

last week ms masuk berita, k.gee bgth abah nie adik pakcik azmali..abh ckp bkn la sbb nama bapak ramli, nm ayh pkck azmali ismail..rpnyer typing error kot..alfatihah..smg roh arwah ditempatkan dikalangan org yg beriman..amin

dhr said...

takziah Kema & family. Mudah-mudahan isteri dan keluarga arwah sabar dan kuat menerima dugaan ni. Kak Dian memang selalu geram je dengan sikap driver bas ekspress kt Malaysia ni. Memang bukan semua tapi yang segelintir tu la boleh buat kemalangan macamni. Dah banyak kes kemalangan yg melibatkan bas ekspress pun diorang masih tak sedar lagi.

Kemn Azmaili said...

@Ceritera Cinta

dalam berita tu salah info..ape lah diorang ni..memang tu bapa saudara saya kak..

Kemn Azmaili said...

@dhr

terima kasih kak dian..berat mata kita memandang, berat lagi bahu yg memikulnya..semoga pesalah diberi hukuman setimpal, kak..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...