Refleksi Diri

EKPRESIKU...

Wednesday, April 23, 2014

Berharganya nilai sebuah penghargaan

Assalamualaikum semua,

Dah lama tak menulis. Banyak benda nak share sebenarnya, tapi bila dah ada peluang nak update entri ni tetibe rasa macam tak tahu nak share apa. hehehe. Kebelakangan ni, saya kerap baca blog orang lain je, sebab memang langsung tak berkesempatan nak update pape.

Kita semua sedia maklum permulaan tahun 2014 ini memberi kesan yang teramat sangat kepada kita semua terutamanya rakyat Malaysia. Saya percaya semua rakyat mahupun serata dunia sedang menanti perkhabaran baik serta kepulangan MH370. Tidak perlu mengulas panjang kerana tragedi ini sudah cukup banyak dengan spekulasi dan kini mula menjadi polemik.

Membawa kisah MH370 ini, saya telah didatangi oleh seorang teman, yang tidak lah begitu rapat sebenarnya di pejabat. Tetapi mungkin Allah menemukan saya dengan teman ini untuk mula berbicara dan meluahkan apa yang dirasainya. Beliau sebenarnya sedang bercuti untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Tetapi beliau kerap saya lihat muncul di pejabat kebelakangan ini. Personaliti beliau cukup menghiburkan dan mudah didekati, dengan air muka yang tak pernah lekang dengan senyuman.

Tetapi, pada ketika dia datang menghampiri cubical saya..Wajah beliau tidak seperti dahulu. Air muka yang suram, pertuturan juga agak perlahan dan tidak bersemangat. Bila mana saya melihat beliau, terus saya menyapa dan menjemput beliau duduk. Saya pasti, ada sesuatu yang bermain di fikiran beliau kerana seolah-olah beliau ingin meluahkan sesuatu tetapi tidak bertemu seseorang yang betul-betul memahami isi hatinya.

Walaupun dalam keadaan saya terlalu sibuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar kepada bos sebelum tengah hari, saya kira tidak manis jika saya meneruskan tugasan saya dan dalam masa yang sama beliau berada di tempat saya. Lalu, saya menangguhkan sebentar tugasan tersebut dan terus bertanya khabar beliau. 

Ternyata sangkaan saya benar. Belum pun saya bertanya lebih mendalam, beliau sudah bercerita dengan panjang lebarnya. Tidak perlulah saya ceritakan apa sebenarnya yang dilalui oleh beliau kerana biarlah ia menjadi rahsia di antara saya dan dia. Tetapi, apa yang ingin saya kongsikan di sini...Beliau berubah menjadi seperti itu kerana salah satu faktornya adalah dek kerana MH370.

Saya tidak terkejut. Tetapi beliau terkejut kerana saya tidak terkejut. Hahaha..saya hanya mampu tersenyum dan cuba menerangkan kepada beliau bahawa saya percaya perisitiwa kehilangan MH370 ini, sememangnya memberi kesan kepada setiap orang. Tetapi penerimaan cerita itu adalah berbeza pada setiap orang. Jadi saya tidak hairan mengapa beliau terlalu sedih dengan cerita itu sehingga menganggu konsentrasi beliau untuk melanjutkan pelajaran. Sampai tahap ingin membatalkan hasrat untuk meneruskan pengajian! Ya Allah..

Dalam keadaan yang penuh emosi, saya cuba menggali apa lagi yang sedang bermain di fikiran beliau. Hidup beliau cukup sempurna. Keluarga yang cukup harmoni, suami yang sentiasa menyokong dan ada ramai teman disekeliling beliau. Tetapi dalam kesempurnaan yang beliau miliki itu, beliau masih merasa kekurangan. 

Sebenarnya beliau hanya ingin seseorang yang memahami dan mungkin beliau rasa mudah untuk berkongsi dengan saya kerana saya pernah melalui fasa-fasa kekurangan dan kesedihan yang sukar untuk digambarkan. Benar, hanya insan yang pernah merasainya, akan faham perasaaan kita ketika itu. 

Saya cuba mengekalkan momentum positif untuk beliau teruskan impian beliau. Mendengar setiap kata luahan beliau itu, saya merasakan fasa kesedihan itu hanya lah baru peringkat permulaan. Saya juga turut berkongsi apa yang pernah saya lalui dalam setiap perjalanan hidup saya, dan saya tidak berniat untuk membandingkan cerita saya dengan cerita dia. 

Tetapi apa yang cuba saya kongsikan adalah terdapat titik persamaan di antara cerita saya dan cerita dia. Malah saya turut berkongsi, jika dia bertindak begini maka kemungkinan ia akan jadi begini. Dan jika dia bertindak begitu, maka mungkin juga akan jadi begitu. Pandangan saya ini hanya berdasarkan pengalaman, kerana saya percaya pengalaman adalah guru terbaik untuk kita.

Seminggu selepas pertemuan saya dan beliau. Saya menerima mesej daripada teman ini. Alhamdulillah syukur kerana dia meneruskan hasrat nya untuk meneruskan pengajian. Kata-kata beliau kepada saya cukup membuat saya gembira. Bukan kerana puji-pujian, tetapi gembira mendengar beliau kembali ceria dan positif. Rasa terharu juga turut menyelubungi diri. Alhamdulillah...kini kami menjadi teman rapat. Saya kerap juga mesej bertanyakan kabar beliau..

Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini...Tidak kiralah siapapun kita..atau siapapun teman kita..hargailah masa kita bersama. Ikhlas hanya datang setelah kita tahu menghargai sesuatu. Jika dilihat dalam konteks medium blog ini juga, tidak sampai sepuluh orang pun yang benar-benar saya kenal, dalam erti kata lain..kawan di luar medium ini. 

Tetapi, dengan medium ini saya menerima pelbagai kata-kata positif dan lebih terharu bila ramai yang mendoakan saya. Hanya Allah yang tahu betapa saya menghargainya.

Terima kasih kerana sudi berkongsi. Cerita dan ceritera di blog anda banyak memberi inspirasi kepada saya. Semoga laman ini juga banyak memberi manfaat kepada anda. 


"Buang jauh-jauh sifat negatif, kawan negatif dan persekitaran negatif. Insyallah satu persatu yang datang bergolek kepada kita adalah sesuatu yang baik dan POSITIF! "

2 yang mengekspresikan diri:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...